Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pulau Pinang

Yayasan Amal Malaysia (AMAL) atau Amal Foundation of Malaysia (AMAL) telah ditubuhkan pada tahun 2001. Sejak penubuhannya, AMAL banyak menjalankan misi bantuan kemanusiaan melibatkan lebih 40 buah negara di rantau Asia, benua Afrika, Asia dan Eropah. Peristiwa Tsunami Acheh 2004 menyaksikan penyertaan AMAL sebagai badan kebajikan dunia antara paling proaktif menyalurkan bantuan. AMAL juga merupakan rakan kerjasama dengan 9 NGO Kebajikan Antarabangsa dan telah mengasaskan sebuah pertubuhan kebajikan antarabangsa yang dinamakan sebagai International Federation for Relief and Development (IFRD) untuk mengkoordinasi bantuan kemanusiaan kepada masyarakat dunia yang memerlukan bantuan.

Semenjak IFRD ditubuhkan, AMAL masih lagi diberi kepercayaan sehingga kini untuk mengepalai gerak kerja mengkoordinasi bantuan ke seluruh pelusuk dunia melalui kerjasama ahli IFRD yang diwakili oleh NGO-NGO daripada 10 buah negara iaitu India, Sri Langka, Bangladesh, Turki, Indonesia, Filipina, Malaysia, Pakistan, Sudan dan Mesir.

VISI AMAL

Menjadi NGO Kebajikan pilihan dunia menjelang tahun 2025.

MISI AMAL

Yayasan Amal Malaysia berkhidmat secara sukarela untuk membangun ummah melalui pendekatan pendidikan, kebajikan, kesihatan, kemanusiaan dan kemasyarakatan.

Yayasan Amal Malaysia melahirkan ahli dan sukarelawan terlatih yang menghayati teras budaya AMAL.


TERAS BUDAYA AMAL

  • Berilmu
  • Beriman & Beramal
  • Berakhlak Mulia
  • Berprinsip & Berdisiplin
  • Berkemahiran & Berketerampilan
  • Berkasih-sayang, Jujur & Hormat-menghormati
  • Beramal Kerana ALLAH

AMAL akan sentiasa terus proaktif dalam bertindak balas dengan isu-isu kecemasan seperti menyediakan bantuan kepada mangsa bencana alam atau buatan manusia seperti peperangan, penzaliman, penindasan, pengusiran dan seumpamanya.

AMAL juga aktif dalam menjalankan projek pembangunan dan pemulihan seperti pembangunan pusat pendidikan & latihan, penyediaan air bersih & sanitasi dan penjagaan kesihatan. Menerusi amanah yang dipikul, kami berharap dapat terus bergerak ke hadapan dalam memupuk keamanan sejagat dan menyelesaikan permasalahan yang melanda masyarakat dunia tanpa rasa jemu dan lelah.